Friday, February 5, 2010

Siapakah sebenarnya orang yang berilmu..?

Hari ini saya ada satu maklumat baru untuk dikongsi bersama anda semua. Saya memperoleh maklumat ini daripada sebuah rancangan televisyen yang mengandungi banyak segmen menarik dan berinformasi yang akan dibincangkan pada hari ini. Salah satu segmen yang menarik pada hari ini ialah tentang isu graduan yang menganggur.

Salah seorang motivator iaitu Dr. Mohd. Shafie Md. Amin telah dijemput dalam segmen bertajuk SIAPAKAH SEBENARNYA ORANG YANG BERILMU. Di Malaysia, semua orang menganggap orang yang berpelajaran tinggi itu berilmu dan dipandang mulia. Semudah itu label BERILMU diletak kepada seseorang manusia. Tetapi kenapa ada orang yang berpelajaran tinggi bunuh diri? Mendera anak? dan melakukan pelbagai lagi perbuatan yang layak dilakukan oleh orang yang bodoh atau gila sahaja. Di sini lah terlihatnya perbezaan antara orang hanya memiliki ilmu teknikal dengan orang yang memiliki ilmu kepimpinan dan pengurusan.

Kajian yang dilakukan oleh Harvard Business School mendapati bahawa 85% daripada kejayaan individu dan organisasi bergantung kepada ilmu peraturan alam dan sikap (pengurusan dan kepimpinan). Dan hanya 15% disumbang oleh ilmu teknikal. Di manakah ilmu kepimpinan dan pengurusan ini dapat diperolehi sedangkan di sekolah-sekolah, 85% ilmu yang disampaikan adalah ilmu teknikal? Hal ini berlarutan hinggalah ke menara gading yang menyebabkan para graduan terbiasa dengan kaedah pembelajaran secara menghafal dan memuntahkannya di atas kertas peperiksaan hingga menyebabkan mereka rasa kekok untuk mencari pekerjaan sendiri di dunia sebenar atau dengan erti kata lain, hidup berdikari dan bersaing.

Menurut Dr. Mohd. Shafie, punca para graduan Malaysia menganggur adalah kerana mereka kurang kreatif untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang menyebabkan mereka mengharapkan pekerjaan itu disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta. Yang kedua, berpunca daripada para graduan yang kurang dilatih dengan ilmu kepimpinan dan pengurusan yang datangnya daripada Al-Quran. Kekurangan penghayatan dengan kitab Al-Quran menyebabkan ramai pelajar megharapkan pendidikan sekular yang mereka perolehi membantu mereka untuk hidup senang dan kaya raya kelak.

Wakil daripada Kementerian Sumber Manusia turut dijemput untuk mengulas isu graduan menganggur dan mereka menyatakan bahawa dalam keadaan ekonomi yang agak gawat kini, tidak mustahil para graduan boleh mendapat pekerjaan yang sesuai asalkan tidak memilih. Walau apapun kerajaan tidak dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang banyak kepada para graduan buat masa ini dan menasihatkan para graduan supaya melihat sebuah dimensi baru dalam alam kerjaya.

So, macam mana kepada para graduan di luar sana, pilihan terletak di tangan anda sama anda untuk memberanikan diri mencari dan melakukan sebarang pekerjaan (asalkan halal) atau menunggu bulan jatuh ke riba iaitu dengan erti kata lain menunggu pekerjaan datang kepada anda. Pekerjaan kita sebenarnya tidak semestinya menggambarkan kelulusan kita. Ya, ijazah itu penting kerana Knowledge is Power. Tetapi ia hanya akan jadi Power jika kita kreatif menggunakannya ke jalan yang betul dan diredhai tuhan. Akhir kata Dr. Mohd. Shafie, jadilah orang yang berilmu dengan erti kata sebenar kerana ramai tokoh korporat sebenanrnya lahir daripada mereka yang kurang ilmu teknikal tetapi kaya dengan ilmu kepimpinan dan pengurusan.

Semoga anda mendapat manfaat di atas perkongsian ini..:)

No comments:

Post a Comment