Tuesday, February 23, 2010

Kepentingan pengurusan masa yang efektif


Pepatah Arab ada menyatakan bahawa masa itu ibarat mata pedang jika kita tidak memotongnya dia akan memotong kita. Bayangkanah betapa pentingnya masa. Masa yang diberi dalam sehari ialah 24 jam tidak lebih dan tidak kurang terpulang kepada individu untuk menggunakannya dengan bijak. Pengurusan masa seharian amat penting dalam kehidupan kita. Masa untuk makan, berehat, beriadah, solat dan lain-lain haruslah disusun secara teratur agar masa dapat diuruskan dengan bijak dan efektif. Dalam kehiupan sehari-hari kita sebenarnya tidak boleh lari dengan jadual masa yang kita telah tetapkan sehari-hari.Tanpa sedar sebenarnya setiap hari kita telah mengatur jadual masa sendiri. Kita akan tahu bila masanya untuk makan, solat dan sebagainya.

Demi masa sesungguhnya manusia kerugian melainkan yang beriman dan beramal soleh. Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Sihat sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kaya sebelu miskin. Lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati.”

Petikan lagu Demi Masa nyanyian kumpulan Raihan tersebut menunjukkan bahawa kita hendaklah menguruskan masa dengan sebaik-baiknya agar kita tidak terlewat dan menyesal di kemudian hari. Sebagai contoh kita menangguhkan kerja semasa berada dalam keadaan lapang dengan percaya bahawa esok masih ada tiba-tiba kita diberi tambahan kerja yang tidak dijangka. Sudah pasti kita akan berasa terbeban ditambah pula denga kerja tersebut perlu dihantar pada hari yang sama. Masa memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan kita dari segi JERIS terutamanya iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Masa itu emas. Jika dibandingkan dengan jambatan emas Puteri Gunung Ledang sekalipun masa yang berlalu tetap tidak akan dapat diputarkan lagi. Masa bukan ibarat roda yang boleh diputarkan kehadapan dan kebelakang. Pengurusan masa yang efektif dapat mempengaruhi intelektual individu. Sebagai contoh pengurusan masa untuk membaca buku , mengulangkaji pelajaran, membuat assignment dan pergi ke kolej adalah sebahagian daripada aktiviti intelektual. Pengurusan masa yang berkesan dapat melahirkan individu yang cemerlang bukan sahaja didunia malahan diakhirat juga. Jika masa tidak diuruskan dengan bijak kita tidak akan dapat meningkatkan prestasi diri dalam bidang akademi. Diri tidak akan dapat dimajukan masyarakat akan menjadi dungu manakala negara pula akan menjadi porak-peranda tiada kesepakatan kerana dijajah oleh kuasa luar.

Solat itu merupakan tiang agama dan mencegah kita daripada melakukan kemungkaran. Melalui solat sahaja kita dapat tahu betapa pentingnya masa. Solat bukan sahaja membentuk disiplin diri agar kita menepati masa malahan solat juga merupakan makanan rohani bagi umat Islam. Pengisian kerohanian haruslah ada dalam jadual waktu individu. Rohani membentuk keperibadian diri seseorang. Sebagai contoh jika kita sibuk seharian bekerja tanpa mempedulikan azan berkumandang memanggil-manggil kita untuk pergi solat maka kita akan membiarkan rohani kita menjadi kosong. Kita mementingkan kerja daripada menunaikan ibadah wajib kepada Allah. Kadang-kadang kita lupa bahawa lalai menunaikan ibadah kepada Allah boeh menyebabkan kita diturunkan bala tanpa sedar. Kesusahan yang datang bertimpa-timpa. Hal ini kerana pengurusan masa yang kurang bijak boleh menyebabkan kita menjadi alpa. Aspek kerohanian tidak kita titik beratkan.

Emosi yang sihat dapat menjadikan seseorang itu produktif. Pengurusan masa yang teratur dapat menjadikan seseorang itu tidak tededah kepada tekanan. Jika seseorang itu menghadapi tekanan dia tidak akan dapat melakukan kerja dengan baik dan hasilnya kurang memberangsangkan. Sebagai contoh seorang pelajar tidak mahu pergi ke kolej dan berasa tertekan kerana dia tidak menyiapkan kerja yang diberikan oleh pensyarahnya. Hal ini menunjukkan bahawa pelajar tersebut kurang bijak dalam hal menguruskan masa. Kerja tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang diberikankerna sesetengah individu suka membuat kerja bertangguh. Ada peribahasa yang menyatakan kerja bertangguh tidak akan menjadi. Tidak pergi ke kelas sehari bukan sahaja menyebabkan seseorang pelajar tertinggal apa yang dipelajari walaupun nota boleh disalin tetapi percakapan pensyarah didalam kelas tidak dapat diputarkan kembali. Hal ini kerana fakta-fakta penting selalunya keluar daripada mulut pensyrah ketika di dalam kelas.

Dalam aspek jasmani pula masa dapat dikaitkan dengan masa untuk makan, bersukan dan sebagainya. Ianya amat penting kerana jasmani berkait rapat dengan tubuh badan kita. Kesihatan tubuh badan amat penting bagi setip individu. Badan yang sihat akan menghasilkan otak yang cerdas. Melalui senaman misalnya kita akan dapat meningkatkan tahap kecergasan badan dan menjadikan jantung kita lebih sihat. Selain itu,masalah obesity iaitu berat badan berlebihan dapat ditangani dengan melakukan senaman. Makan secara sihat juga perlu diamalkan. Oleh sebab itulah adanya hadis yang menyatakan bahawa makan sebelum lapar berhenti sebelum kenyang. Sudah jelas didalam hadis ada menyatakan bahawa kita perlu mengawal pemakanan kita agar kita sentiasa berada dalam keadaan yang sihat. Selain itu, umat Islam juga perlu berpuasa pada bulan Ramadhan. Hal ini kerana kita peru merehatkan perut daripada makan terus menerus. Tidur yang banyak juga boleh menjejaskan aspek jasmanai. Kita tidak menjadi cergas dan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak bersedia. Oleh itu, pengurusan masa juga amat penting dalam aspek pengurusan jasmani.

Pengurusan masa dalam kehidupan sosial juga amat penting. Sebagai contoh sekiranya kita adalah sebagai ahli perniagaan tidak menepati masa yang telah ditetapkan dengan pelanggan kemungkinan kita akan kehilangan projek yang bernilai jutaan ringgit. Bayangkan masa boleh menyebabkan kita rugi. Keidupan sosial haruslah dititik beratkan terutamanya ketika berhadapan masyarakat. Apa salahnya jika kita meluangkan sedikit masa untk berbual-bual dengan jiran tetangga dan mengambil tahu apa yang perlu. Hal ini kerana jika kita mempunyai sikap prihatin terhadap jiran tetangga dan rakan-rakan apabila kita berada didalam kesusahan ada yang akan membantu barulah amalan tolong menolong bagai aur dengan tebing dapat dijadikan tabiat masyarakat Malaysia. Tidaklah kita menjadi seperti kera sumbang tidak bergaul dengan orang lain serta mementingkan diri sendiri. Mana tahu suatu hari nanti apabila ketika kita memerlukan bantuan tiada siapa yang sudi menghulurkan kesan daripada sikap kita yang mementingkan diri.

Intihanya, kita hendaklah bijak membahagikan masa dan menggunakannya dengan sebaiknya. Hal ini kerana masa yang telah berlalu tidak dapat dikembalikan semula walaupun kita bergolok bergadai sekalipun. Setiap individu hendaklah tahu bahawa mereka mempunyai jadual masa tanpa mereka sedari. Masa boleh merubah seseorang individu menjadi lebih baik mahupun sebaliknya. Hargailah masa yang ada dan gunakanlah dengan sebaiknya agar kita tidak menyesal kelak.

1 comment: